Sekitar Majlis Pelancaran Logo Rasmi Grafik Malaya

Majlis Pelancaran Logo Rasmi Grafik Malaya yang baru sahaja tamat semalam (28 Ogos 2016) yang dihadiri oleh 60-70 orang ahli group Grafik Malaya merupakan suatu kejayaan yang sangat cemerlang. Ini merupakan perjumpaan kali ke-2 (perjumpaan pertama di Yumcha 2014) sebenarnya namun, tidak dapat disangkal ia merupakan perjumpaan yang lebih sukses dengan kehadiran yang lebih tinggi dari kalangan ahli grup Grafik Malaya sendiri. Majlis mengambil tempat di ruang legar Empayar Kukubesi Store yang telah bermurah hati untuk menutup kedai beliau bagi menaja lokasi majlis gemilang ini.
Facebook Live Stream oleh saudara Yoshiro
Sekiranya anda terlepas atau tidak dapat menghadiri majlis tempoh hari, kami sebenarnya melakukan live stream pada hari yang sama, terima kasih kepada saudara Yoshiro di atas penghasilan rakaman video yang berkualiti. Barangkali ia boleh di-DVD-kan bagi memberi peluang kepada rakan-rakan yang tetap tidak dapat menonton kerana tidak memiliki bandwith atau kelajuan internet yang tinggi.
Ucapan & penganugerahan oleh wakil SKMM
Selain ahli-ahli grup Grafik Malaya, majlis juga dihadiri oleh beberapa orang wakil daripada wRega dan juga SKMM. Menerusi wakil SKMM, kami menerima berita gembira bahawa kini Grafik Malaya mendapat pengiktirafan daripada SKMM.
Lebih banyak aktiviti yang akan mempertemukan kedua-dua kumpulan ini dengan program terkini adalah Pertandingan Poster Kreatif Dakwah Digital yang menggabungkan tiga badan iaitu SKMM, JAKIM & GM.

Hadiah keseluruhan bernilai lebih RM30,000!
Percaya atau tidak, Grafik Malaya tiada sumber kewangan sendiri kecuali menerusi yuran iklan bernilai RM5 (kini RM10) yang sehingga kini hanya ada beberapa ratus ringgit sahaja yang terkumpul.
Kami semakin kini percaya yakin, kuasa komuniti besar inilah sebenarnya yang menjadi inspirasi & menambah kegairahan dalam pertandingan ini kerana tanpa 33 penaja utama pertandingan ini, tidak mungkin nilai RM30,000 ini mampu dikumpulkan sekaligus menawan mata setiap designer sehingga terhasilnya 312 logo bagi merebut hadiah-hadiah yang ditawarkan.


20 cabutan bertuah tajaan Instaweb
Setiap pengumuman pemenang dari tempat ke-20 sehingga ke-4 (kecuali 1, 2 & 3) diselangi dengan cabutan bertuah yang ditaja khas oleh Tuan Issani Isa dari Instaweb. Setiap orang pasti ingin tahu, ‘Barangkali datang aku dengan tuah hari ni’ jadi, setiap yang hadir ternanti-nanti nombor cabutan mereka diumumkan. Ia lebih mendebarkan apabila satu persatu nombor yang disebut tidak dimiliki oleh sesiapa. Wah, menarik nafas lega masing-masing. Secara keseluruhan, ia merupakan aktiviti yang sangat menyeronokkan.

Pemenang Anugerah Logo Pilihan Grouprint
Di antara terma & syarat pertandingan tempoh hari adalah hanya logo yang memenangi tempat pertama, ke-2 & ke-3 sahaja dimiliki sepenuhnya oleh Grafik Malaya. Selebihnya, logo-logo adalah milik sepenuhnya pereka grafik dan mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk menjual semula logo tersebut.
Tuan Azudin mewakili Grouprint berhasrat untuk membeli salah satu daripada top-20 logo untuk dijadikan logo rasmi salah sebuah anak syarikat beliau, dan logo hasil karya saudara Hafiz telah terpilih. Dengan ini, Hafiz akan menerima wang tunai RM500 beserta beberapa insentif lain yang sangat hebat! Idaman setiap freelancer.


Pemenang Anugerah Logo Pilihan Kukubesi
Sekiranya anda masih ingat, pada 5 Ogos 2016 yang lalu, saudara KB daripada Empayar Kukubesi ada menerbitkan video yang memanggil beberapa logo yang tidak tercalon dalam Top-20 untuk membaiki logo tersebut & seterusnya menghantar sekali lagi bagi sesi penilaian semula. Tak perlu cakap panjang, tonton video ini.
Selepas dateline pada 15 Ogos 2016, keputusan dicapai dan inilah dia pemenang bagi kategori Anugerah Logo Pilihan KukuBesi. Kacak bergaya, seperti logonya juga. 😉

Pemenang trofi no. 1, 2 dan 3 pertandingan
Inilah dia barisan pemenang utama Pertandingan Reka Logo Grafik Malaya. Tahniah diucapkan kepada saudara Chee Wei Ha (tempat pertama), Asri Asat (Teh Ais) (tempat ke-2) dan Zharif Omar (tempat ke-3) yang telah mengungguli top-3 sekaligus membawa pulang hadiah terkumpul berjumlah RM23,600.
Pelancaran logo rasmi Grafik Malaya
Selaku pengerusi majlis, admin @Edie bukan sahaja mengumumkan kedudukan top-20 & 3 pemenang utama Pertandingan Reka Logo Grafik Malaya, 28 Ogos 2016 menjadi tarikh penting di mana logo rasmi Grafik Malaya buat pertama kali dilancarkan secara publik. Bagi admin @Akhi Joe yang telah mula menulis di laman web Grafik.my sejak 7 tahun yang lalu dan membangunkan jenama Grafik Malaya sejak 4 tahun yang lalu, detik ini merupakan suatu detik yang sangat bermakna dan dinanti-nanti.

Selebihnya, anda boleh melihat klik pada galeri foto di bawah untuk melihat foto-foto liputan sekitar majlis Majlis Pelancaran Logo Rasmi Grafik Malaya. Sehingga itu, saya admin @Akhi Joe bagi pihak pengurusan Grafik Malaya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat.
Pelancaran sebuah logo yang unggul dan menjadi kebanggaan kita bersama ini, bukanlah hanya merupakan hasil karya seorang anak seni dari Kulim, Kedah. Tetapi hasil penajaan 33 penaja utama pertandingan, 220 orang pereka grafik, 312 reka logo Grafik Malaya, anugerah-anugerah yang ditaja oleh Grouprint & Empayar KukuBesi, Instaweb sebagai penaja goodies & cabutan hadiah serta semua ahli-ahli group komuniti Grafik Malaya yang telah turut serta di dalam majlis ini. Inilah permulaannya.
Foto ehsan admin @Nazmie
Foto ehsan @Khairul Nadiah