Momen Ikonik Terindah Malaysia Dirakam Secara Digital – Virtual Plein Air Oleh Uzair Rashid

En Plein Air atau Plein Air Painting adalah kata kerja dalam bahasa Perancis yang bermaksud out of door atau perbuatan melukis di luar studio, di tempat terbuka di mana persekitaran sekeliling adalah subjek kepada hasil kerja mereka.
Manakala Virtual Plein Air pula memiliki definisi unik bagi seorang pelukis digital. Ingin lebih memahami, kami dekati seorang pelukis digital Malaysia yang berpengalaman menghasilkan Virtual Plein Air, saudara Uzair Rashid.
Apa itu Virtual Plein Air?
Virtual Plein Air ialah perbuatan melukis landskap atau pemandangan berdasarkan imej tangkapan layar (screen capture) daripada google street view. Teknik ini biasa diperaktikkan oleh pelukis digital.
Terdapat juga artis yang menggunakan gambar landskap yang mereka tangkap sendiri untuk dijadikan sebagai rujukan kepada lukisan mereka.
Selain dari Virtual Plein Air, Uzair menyatakan bahawa beliau juga suka melakukan kajian foto (photo study). Di mana sumber gambar rujukan tersebut diperoleh secara rawak melalui carian Pinterest atau Google.
“Semua hasil kajian foto ini hanyalah bertujuan untuk latih tubi dan penambahbaikan sahaja. Ia sama sekali tidak boleh digunakan untuk tujuan mengambil keuntungan.”
– Uzair Rashid
Menurut Uzair lagi, Virtual Plein Air juga sebenarnya mempunyai kumpulan yang terdiri daripada artis seluruh dunia, di mana mereka akan berkongsi hasil lukisan landskap mereka berserta pautan koordinat lokasi lukisan tersebut.

Sumber inspirasi anda menghasilkan VPA?
Beliau terinspirasi untuk merakamkan lokasi-lokasi ikonik Malaysia. Tidak semestinya lokasi popular seperti A’Famosa tetapi rumah-rumah kedai, jalan-jalan di pekan atau bandar di sekitar Malaysia juga memiliki nilai ke-Malaysia-an yang berharga untuk direkodkan.
“Selain itu, pencahayaan dan bayang yang menarik (biasanya waktu petang ataupun tengah hari) juga membuatkan subjek tersebut lebih menarik untuk dilukis.”
“Virtual Plein Air ini juga merupakan salah satu terapi minda kepada saya untuk merehatkan otak dengan menikmati/menghargai pemandangan dengan cara yang berbeza” ujar beliau lagi.
Kepada anda yang turut ingin menikmati hasil karya saudara Uzair Rashid boleh mengikuti beliau menerusi profil Facebook atau boleh terus melawati group Virtual Plein Air di Facebook.