Ulasan

Checklist Wajib Jika Anda Mencari Laptop Untuk Pereka Grafik

Topik ini berfokus kepada pereka grafik yang umumnya menghasilkan rekaan seni visual dalam bentuk imej statik (bukan multimedia). Bertitik tolak daripada tajuk ini, anda sudah boleh mengagak spesifikasi yang khusus diperlukan oleh pereka grafik tersebut. Anda salah. Topik ini akan tetap kekal subjektif kerana tidak pernah ada satu pun designer yang memiliki citarasa yang sama.

Tapi kita boleh berbincang secara ringkas, apakah kriteria utama yang harus dipertimbangkan apabila seorang pereka grafik ingin mencari laptop/komputer riba baru yang sesuai dengan bidang kerjanya.

Perkara yang harus diberi perhatian jika anda bercadang untuk membeli sebuah laptop kerja yang baru.

Laptop atau Desktop

Sebelum kita fokus lebih jauh kepada laptop, ketahui perkara ini dahulu. Peranti yang membolehkan anda menghasilkan seni reka grafik wujud dalam dua versi; laptop & desktop.

Apa bezanya? Segala-galanya. Saiz, harga, spesifikasi, berat, mobiliti. Secara umumnya, bajet yang lebih besar diperlukan untuk membina sebuah desktop. Dan jika anda genius, desktop yang lebih berkuasa boleh dibina berbanding laptop pada harga yang sama.

Kalau anda tanya, saya pasti akan kata ‘desktop’. Kerana dengan perbelanjaan yang sama, anda dapat membina spesifikasi desktop yang lebih berkuasa berbanding laptop. Tapi, tidak salah untuk menggunakan laptop. Malah, sudah banyak model laptop dibina dengan spesifikasi sebaik desktop. Saya sendiri memiliki sebuah desktop & laptop untuk kemudahan kerja saya.

Ringkasan — Laptop hanya untuk tujuan mobiliti. Sekiranya anda yakin anda hanya bekerja di rumah/pejabat sahaja, maksimumkan spesifikasi peranti anda dalam mode desktop.

Mobiliti

“Let’s talk laptop”

Jika ini keperluan anda, maka laptop adalah pilihan terbaik. Designer yang sentiasa bergerak aktif adalah kerana samada beliau banyak bertemu pelanggan, task-nya memerlukan proses editing dilakukan on-site (di lokasi) atau beliau seorang freelancer yang tak suka terperuk di dalam rumah, suka lepak di cafe & tempat publik yang ramai orang.

NAMUN, walaupun mungkin ramai designer kurang bersetuju tetapi bagi saya, anda tidak seharusnya mengabaikan spesifikasi laptop sehingga terlalu rendah dan tidak bermaya untuk membuka sebuah fail psd bersaiz 20Mb. Ini akan saya perpanjangkan menerusi topik-topik seterusnya.

Anda tidak seharusnya mengabaikan spesifikasi laptop terlalu rendah sehingga untuk membuka sebuah fail psd bersaiz 20Mb pun tidak berdaya.

Ringkasan — Jangan abaikan spesifikasi laptop walaupun dalam masa yang sama anda perlu menjadi sangat mobile. Sifat mobile mengutamakan keringanan (berat) dan saiz yang mini.

Saiz skrin

Pastikan saiz paparan skrin laptop sekurang-kurangnya bersaiz 15 inci. 17 inci adalah yang terbaik (bajet lebih besar), manakala yang lebih besar daripada itu adalah tidak digalakkan kerana ia akan membuang sifat mobiliti laptop tersebut. Nak sumbat mana laptop yang besar sangat ni?

Saiz skrin yang lebih besar membolehkan pelanggan melihat hasil karya anda dengan lebih jelas dan dalam masa yang sama ia tidak terasa terlalu sempit dan menyesakkan untuk anda melakukan on-site editing.

Ringkasan — Skrin di antara 15-17 inci adalah pilihan terbaik. Lebih kecil daripada 15 inci akan membataskan penglihatan anda & lebih besar daripada 17 inci bukan sahaja susah untuk disimpan malah sangat berat.

Resolusi skrin 1080p Full HD

Resolusi Full HD adalah 1920 x 1080 piksel. Secara default, setting laptop tidak akan menggunakan potensi Full HD sepenuhnya. Pada tahap ini, anda akan lihat laptop anda seperti laptop biasa. Cuba ubah setting kepada Full HD, dan anda dapati skrin anda akan kelihatan mengecil tetapi masih tajam (sharp).

Perlu ke? Ya perlu. Ini akan memaksimumkan potensi skrin besar anda. Ruang kerja (skrin) anda akan menjadi lebih luas & mata anda lebih selesa melakukan on-site editing.

Ringkasan — Resolusi laptop paling minimum adalah Full HD iaitu 1920 x 1080 piksel. Jika anda tidak terikat dengan bajet, dapatkan resolusi yang lebih tinggi. Retina mungkin?

Berat laptop

Seakan-akan tak kena pula bila skrin nak yang besar, dah tentu saiz laptop juga besar. Sekarang laptop tak boleh berat pula. Jangan risau, industri komputer riba di Malaysia secara spesifik, sudah cukup matang untuk menghasilkan variasi super laptop tetapi masih mengekalkan berat yang jika tidak ringan, ia tidaklah terlalu berat sekurang-kurangnya tidak terasa bebannya apabila dibawa.

Berat laptop amat penting jika kegunaan anda adalah secara on-the-go. Seminggu dua, anda pasti teruja. Masuk bulan ke-2, anda akan mula terasa bebanannya kerana anda perlu sentiasa keluar dan masukkannya dari dalam beg.

Jangan lupa selain laptop, anda perlu membawa power adapter, mouse, mouse pad & drawing tablet (optional) dan aksesori-aksesori tambahan yang lain. Baca seterusnya.

Ringkasan — Mobiliti sangat memfokuskan kepada saiz dan berat. Anda tidak boleh menjadi mobile jika beban yang anda bawa berlebihan. Jangan lupa anda ada aksesori tambahan lain yang menambah berat beg sandang anda.

Aksesori tambahan

Aksesori dimaksudkan adalah seperti

  1. Tetikus (mouse) & alas tetikus (mouse pad) — Please jangan design guna track pad
  2. 4G USB dongle — Tak perlu jika anda menggunakan Internet WiFi atau smartphone
  3. dan jika perlu Drawing Tablet — wajib bagi saya
  4. Power Bank — untuk smartphone anda
“Aktiviti On-Site Designing tidak lagi menyeronokkan jika setiap kali anda nak keluar, kepala anda kusut memikirkan beratnya beban yang terpaksa dipikul hari ini”

Power adapter dah tentu waijb bawa. Jadi faham sahajalah. Bagaimana? Adakah anda masih consider laptop yang berat-berat ni? Nah.. Saya tak rasa begitu.

Tolong ingat, jika nak disenaraikan banyak lagi aksesori lain yang ingin ditambah. Fokus kepada matlamat anda; mobiliti.

On-Site Designing tidak lagi menjadi aktiviti menyeronokkan jika setiap kali nak keluar anda terfikir “Betapa beratnya beban yang terpaksa dipikul setiap kali melangkah keluar daripada rumah”.

Ringkasan — Hanya bawa aksesori tambahan yang perlu sahaja seperti tetikus, alas tetikus & power bank. Buat senarai dan keluarkan aksesori yang tidak digunakan lebih daripada 2-3 bulan.

RAM

RAM (Random Access Memory) yang besar adalah fokus utama seorang pereka grafik. Bagi saya, ia lebih penting lagi daripada mencari Graphic Card yang hebat.

RAM ibarat sebuah court badminton. Ketika tiada perlawanan, 100 orang pun boleh dimuatkan dalam court yang sama. Tapi apabila game bermula, pemain akan aktif berlari, menghayun dll. 2 orang sahaja boleh ada dalam court. Jika lebih, game akan terhenti kerana terganggu. Sesak! Pemain tak dapat bergerak & bola tak dapat dicapai.

Ketika tidak aktif, RAM 4Gb cukup untuk perisian Adobe Photoshop disimpan. Tetapi ketika ia aktif, anda akan sibuk menarik elemen, memberus, membuka fail, drag & drop, render plugin dll. Jika RAM anda kekal 4Gb, pergerakan anda akan terbatas, tersekat, lag, tersangkut-sangkut & diakhiri dengan Photoshop terpadam sendiri. Pernah terjadi? 😉

Sumber foto
Sumber foto

Ya, RAM pada saiz 4Gb adalah kecil, 8Gb adalah suatu permulaan dan sebaiknya ditingkatkan sehingga 16Gb sekurang-kurangnya. Apatah lagi sekiranya laptop tersebut adalah satu-satunya peranti yang anda gunakan. Dan saya bercakap tentang performance RAM; 1600MHz ke atas. Bukan RAM 800MHz yang biasa.

NAMUN, RAM adalah bahagian laptop yang boleh ditambah & diganti seperti ruang storan anda. Jadi, jangan fokus mencari RAM terbesar ketika membeli laptopIni adalah kesilapan yang besar.

Ketika membeli, fokus pada komponen yang kekal/tak boleh tanggal/ubah seperti Core Processing Unit (CPU) & Graphic Processing Unit (GPU).

Ringkasan — RAM boleh ditambah/diganti kemudian. Jangan beli laptop berdasarkan saiz RAM tetapi berdasarkan pemilihan komponen kekal/tak boleh tanggal/ubah yang terbaik. Upgrade RAM kepada 8Gb sebagai permulaan & 16Gb (8Gb 1600Mhz x 2pc) apabila ada bajet.

SSD

Sumber foto
Sumber foto

Solid State Drive (SSD) adalah 1 antara 2 perkara penting  yang ingin saya tekankan. Percayalah, sekali anda mencuba kehebatan SSD, anda tidak akan kembali kepada HDD.

Disebabkan SSD tidak menggunakan sistem cakera seperti HDD, maka kelajuan membaca, menulis & menyimpannya menjadi sangat tinggi berbanding HDD. Dulu, selepas menaik taraf RAM laptop, saya ingat itulah naik taraf terakhir boleh dilakukan, sehinggalah saya berkenalan dengan SSD. Kenangan terindah. Laptop tersebut bekerja seperti pemproses baru walaupun sudah berusia lebih daripada 6 tahun.

Secara default, laptop didatangkan dengan storan Hard Disc Drive (HDD). Ia juga adalah komponen yang sama seperti RAM; boleh ditukar-ganti. Jadi, jangan fokus kepada jenis atau saiz ruang storan ketika membeli laptop. Beli & naik taraf ruang storan kemudian. Disebabkan harga SSD agak mahal, 125Gb sudah memadai. Untuk jangka masa panjang, 250Gb adalah pilihan yang lebih baik.

Ringkasan — SSD adalah naik taraf ke-2 selepas RAM yang boleh dilakukan untuk menambah kuasa performance laptop anda. Ya, naik taraf. Anda tidak perlu membeli laptop yang sedia SSD. Saiz 125Gb sudah memadai & untuk jangka masa panjang, 250Gb adalah pilihan yang lebih baik.

Graphic Card

Sumber foto
Sumber foto

Graphic card atau Graphic Processing Unit (GPU) pada saya untuk edisi 2016, jangan pilih GPU yang lebih rendah daripada Nvidia GT940. Saya tidak mahu terlalu fokus pada bahagian ini kerana saya rasa ramai sudah faham kepentingannya cuma saya lebih ingin tekankan kepentingan RAM berbanding GPU.

Ringkasan — Pastikan spesifikasi terendah untuk graphic card at least Nvidia GT940.

CPU

Core Processing Unit (CPU) adalah otak bagi laptop. Intel Core-i3, Core-i5, Core-i7? Biasa dengar?

Untuk memahaminya, bayangkan pelajar pintar cerdas VS pelajar lemah. Apabila diajukan soalan, dengan pantas pelajar pintar dapat menjawab. Segalanya dihafal, dan walaupun soalan sukar, dengan mudah jawapan dicari.

Bagi pelajar lemah pula, barangkali soalan yang mudah juga memerlukannya membuka semula buku teks. Kemampuan mencari & mengiranya sangat lambat. Jika perlu mencari sesuatu, pasti susah dan mengambil masa yang sangat lama untuk ditemui kerana daya ingatannya yang lemah. Dan untuk melakukan sesuatu aktiviti, sentiasa lembap dan tidak bermaya.

Sumber foto
Sumber foto

Setelah faham, adakah anda perlukan pelajar yang paling pintar & cerdas? Tidak. Sudah cukup dengan middle class student. Apa maksudnya? Bagi saya, Intel Core-i5 sudah memadai. Dapatkan Intel Core-i7 sekiranya anda ada bajet. Ketika saya menulis, CPU sudah berada dalam generasi ke-6. Sila pastikan ianya 6th Gen.

Ringkasan — CPU adalah otak laptop. Lagi tinggi spesifikasi, lebih bijak laptop anda mencari, mengambil sesuatu maklumat apabila diminta & lebih pantas ia bertindak. Intel Core-i5 sudah memadai. Dapatkan Intel Core-i7 sekiranya anda ada bajet.

Jenama

Adakah jenama begitu penting bagi anda? Jika ya, anda sudah pun meletakkan had dan kebebasan untuk anda memilih. Tetapi itu bukanlah sesuatu yang tidak baik. Apa pun, ia pada akhirnya yang paling penting adalah keselesaan anda menggunakan laptop tersebut. Laptop tersebut akan bersama dengan anda paling kurang 2-3 tahun (saya dah 6 tahun lebih) dan bersediakah anda berasa tidak selesa selama itu?

Bajet anda

Sumber foto
Sumber foto

Sengaja saya letakkan topik bajet pada saat akhir. Kalau awal-awal lagi anda sudah menghadkan bajet, sudah tentu anda takkan consider keperluan spesifikasi yang saya senaraikan di atas.

Sekarang, apabila anda sudah tahu apa yang perlu dan tidak ketika mencari laptop, anda sudah boleh buat perbandingan spesifikasi yang terbaik dan memastikan ianya berada di dalam bajet anda.

Pilihan saya

Alang-alang saya dah tulis artikel ini, biar saya ceritakan pilihan menurut pertimbangan saya. Setelah meneliti semua spesifikasi di atas, saya letakkan bajet saya di antara RM2500 sehingga RM3000. Dalam range ini, terdapat banyak pilihan yang bersesuaian dengan spesifikasi di atas.

Berikut adalah pilihan mengikut prioriti saya daripada kurang kepada lebih baik.

  1. Lenovo Ideapad 700-15ISK RM2749
  2. HP Pavilion Gaming 15-AK031TX RM2819
  3. Acer Aspire V Nitro VN7-572G RM2889
  4. Dell Inspiron 15 7559 RM3119
  5. Asus VivoBook Flip TP501U RM3169
  6. Asus K501U RM3049

Asus K501U

laptop-designer-01
Sumber foto

Jenama Asus — Setelah 3 kali bertukar jenama laptop dalam tempoh 10 tahun, Asus menjadi pilihan. Bukan disebabkan kelasakannya sahaja, yang lebih utama keselesaan papan kekuncinya. Selain ianya adalah papan kekunci penuh (beserta Number Pad – kanan), kekunci arrow juga dalam mode normal. Tak seperti laptop lain yang begitu kecil dan membuatkan saya selalu tersalah klik.

CPU Core i7 & GPU NV GT940 — CPU Intel Core-i7 6500U & GPU Nvidia GT940. Ini seperti dibincangkan adalah spesifikasi paling minimum & Core-i7 adalah bonus sebenarnya.

4Gb RAM & 1Tb HDD — 2 perkara yang boleh dinaik taraf ini, dipakejkan pada spec paling minimum. Cantik. Next time, 4Gb RAM akan dinaik taraf kepada 16Gb 1600Mhz dan 1Tb akan diganti dengan SSD 250Gb. 1Tb HDD akan dijadikan external HDD dengan menambah casing luar.

Saiz nipis 21.7 mm — 21.7 mm adalah antara kategori nipis. Senang nak tahu, kalau tiada pemain pemacu optik, biasanya ia adalah laptop kategori nipis. 30 mm sudah dikira terlalu tebal.

Berat 2kg — Bukanlah berat yang paling ringan tetapi mempertimbangkan spesifikasi yang cukup tinggi & kenipisan yang dapat dicapai, ia adalah antara yang paling ringan di dalam kelasnya.

Skrin Full HD — Skrin Full HD adalah sangat penting. Bagi seseorang yang sudah biasa dengan paparan Full HD, berpindah kepada resolusi yang lebih rendah pasti akan menghampakan anda. Cuma, kalau tidak silap, kualiti kaca skrinnya tidaklah sebaik yang dijangka.

Nanti dulu!

Jangan terus buat kesimpulan. Seperti yang saya beritahu, ini adalah pilihan peribadi saya. Sekiranya anda merasakan spesifikasi ini terlalu tinggi, atau harganya terlalu mahal, anda boleh sahaja mendapatkan kombinasi yang lebih rendah. Mungkin spec kad grafik yang lebih rendah atau CPU Intel Core-i5?

Semoga artikel ini memberi anda lebih idea dan sebagai rujukan, bagaimana caranya untuk anda membuat kajian perbandingan spesifikasi laptop sebelum membeli. Lebih mudah lagi, anda tak perlu ke kedai komputer untuk melakukannya. Banyak sumber tepat di internet yang boleh anda gunakan dan ia boleh dilakukan di rumah sahaja. Ke kedai hanya apabila anda sudah membuat 1 atau 2 pilihan terbaik untuk dicuba (test drive).

Bagaimana dengan anda? Bagaimana cara anda membuat analisis? Spesifikasi apakah yang menjadi tumpuan anda apabila mencari sebuah laptop? Kongsikan.

— Admin Akhi Joe.